Siasatan polis ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kebocoran dokumen sulit kerajaan bawah bidang kuasa polis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

"Setakat saya tahu, ini adalah bidang kuasa polis," kata Noor Rashid dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab dengan jelas berhubung dakwaan Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Mohamad Zin bahawa polis bertindak atas arahan “dalang-dalang”.

Noor Rashid turut berkata siasatan polis ke atas pegawai SPRM tidak akan mengganggu tugas SPRM kerana mereka hanya menumpukan kepada isu kebocoran dokumen sulit.

Katanya, SPRM masih boleh menjalankan kerja mereka tanpa sebarang gangguan.

"Fokus kita hanya kepada isu kebocoran dokumen sulit... (isu) yang lain kita tak concern. SPRM boleh terus siasatan mereka, kita akan terus siasatan kita.

"Kita tidak akan membuat sebarang gangguan. Kita menghormati SPRM dan mereka juga mempunyai kuasa sendiri," tegasnya.

Noor Rashid turut berkata pegawai kerajaan tidak patut membocorkan maklumat kerana ia satu kesalahan.

"Kebenaran siasatan hanya akan didedahkan di mahkamah selepas pendakwaan dilakukan dan bukannya sebelum pendakwaan," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang turut hadir dalam sidang media itu enggan mengulas perkara itu dan hanya menyerahkan kepada Noor Rashid.

"Kita serah kepada polis untuk menjalankan tugasnya, saya tak mahu mengganggu tugas polis," katanya.