Keputusan kes rasuah Khir Toyo bulan ini
Keputusan kes rasuah bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo di Mahkamah Persekutuan akan diputuskan sebelum akhir bulan ini.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria ketika ditemui dalam majlis pelancaran Magna Carta Komanwel dan majlis hari raya berasingan.
“Saya fikir keputusan akan dibuat sebelum akhir bulan ini,” katanya.
Perkara itu juga disahkan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel yang mendengar rayuan itu.
“Ya, keputusan akan dibuat dalam masa sebulan ini dan semua pihak akan dimaklumkan,” katanya ringkas.
Khir disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan kesalahan rasuah pada 23 Disember 2011.
Beliau dituduh memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni, pada harga RM3.5 juta.
Ia lebih rendah daripada harga RM6.5 juta yang dibayar oleh Ditamas pada 2004.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara pada 30 Mei 2013 dan arahan merampas harta tersebut.

