Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM akan temui pemegang lesen
Diterbitkan:  Aug 6, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan pertemuan dengan lebih 250 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas berhubung pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata proses pertemuan yang bermula sejak April lepas akan berterusan sehingga akhir September ini.

Katanya, fasa pertama pertemuan pada April lepas adalah dengan pihak-pihak berkepentingan dan seterusnya dilanjutkan dengan kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan dan pemegang lesen.

Sesi pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan adalah pada Mei dan Jun, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Proses rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan ini dilaksanakan menerusi beberapa siri mesyuarat dan bengkel bersama-sama dengan sektor awam dan swasta bertujuan untuk mendapatkan maklum balas terhadap perkara-perkara berbangkit mengenai rang undang-undang itu," katanya.

"Kesemua siri pertemuan itu penting bagi memastikan suara dan pandangan pihak berkepentingan tidak diketepikan dan segala maklum balas yang diberi akan dipertimbangkan sebelum pindaan akta itu dibentangkan (pada persidangan Dewan Rakyat) Oktober ini," katanya.

Halim berkata selain sesi pertemuan tersebut, pandangan-pandangan berhubung dengan pindaan yang diperlukan untuk rang undang-undang itu turut diperolehi melalui laman sesawang SKMM.

Semalam, Halim memaklumkan bahawa pindaan akta itu perlu mengambil kira keadaan persekitaran dalam talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun lalu termasuk kemunculan media sosial.

Pada masa sama, pindaan yang dibuat perlu mempertimbangkan trend bahawa pengguna maklumat di media sosial juga adalah pihak yang menerbitkan kandungan tersebut, katanya.

Halim berkata kajian semula akta itu bukan hanya berkisar kepada usaha memperkukuh keupayaan penguatkuasaan SKMM, malah terdapat banyak lagi bahagian dalam akta berkenaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang turut dikaji.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS