OIC dan NAM pimpinan Malaysia perlu bertindak
Malaysia digesa menggunakan pengaruhnya dalam Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) supaya masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap Israel berikutan keganasannya regim Zionis itu di Semenanjung Gaza.
Malaysia digesa menggunakan pengaruhnya dalam Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) supaya masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap Israel berikutan keganasannya regim Zionis itu di Semenanjung Gaza.
Ketika membuat gesaan tersebut, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berkata, selain NAM dan OIC, Kesatuan Eropah (EU), Nato dan Asean mesti mengutuk tindakan Israel menyerang kem pelarian Palestin di Jabaliya sejak 24 September lalu, mengakibatkan lebih100 terbunuh dan ramai lagi yang cedera.
"Sekurang-kurangnya 50 rumah dirobohkan, menyebabkan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal. Alasan Israel untuk menyekat pelancaran roket dari Gaza adalah tidak munasabah dengan menggerakan 2,000 tentera dan 200 kereta kebal," kata Presiden JIM, Zaid Kamaruddin.
Malah, tegasnya, perbuatan menggunakan kuasa ketenteraan yang keterlaluan ini adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
Zaid berkata, keganasan tentera Israel itu melanggarkan Konvensyen Geneva 1949, Deklarasi Hak Asasi Manusia (DHR) 1948 dan juga perjanjian-perjanjian damai regim Zionis itu dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
"Keganasan tersebut juga amat bertentangan dengan sifat kemanusiaan dan tidak diiktiraf oleh mana-mana agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, JIM mengutuk keganasan rejim Zionis di Jabaliya dan menggesa mereka mengundurkan tenteranya tanpa syarat dari Jalur Gaza mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AS turut dikutuk
JIM juga, katanya, mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) menyokong keganasan Israel dengan menggunakan kuasa veto di persidangan Majlis Keselamatan PBB pada 6 Oktober lalu, untuk menghalang usul menggesa rejim tersebut berundur dari Gaza.
Di samping itu, tambahnya, JIM turut menggesa EU, Nato, Nam, OIC dan Asean mengutuk tindakan Israel dan sokongan AS terhadap rejim tersebut.
"JIM menggesa EU, Nato, Nam, OIC dan Asean supaya memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sehinggalah mereka berundur keseluruhannya dari Jalur Gaza dan Tebing Barat, serta menggenakan sekatan ekonomi jika ia enggan berbuat demikian," kata Zaid.
Di samping itu, Zaid juga menggesa kerajaan supaya menggunakan jentera kerajaan untuk meningkatkan lagi kesederaan di kalangan rakyat Malaysia mengenai isu sebenar yang menimpa rakyat Palestin.
Selain itu, katanya, JIM juga menggesa supaya disemarakkan lagi kempen memulau produk syarikat pro-Zionis dan Amerika serta tidak menghalang usaha pemulauan oleh rakyat.
"Kerajaan Malaysia digesa supaya menyerahkan memorandum yang ditandatangani bersana badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik sebagai membantah keganasan Israel di Gaza," tambahnya.
Sempena kedatangan bulan Ramadhan esok, Zaid menyeru umat Islam di negara ini supaya memperbanyakkan doa buat rakyat Palestin yang terus menerus menjadi mangsa kekejaman Israel.

