Pemuda PAS minta semua hormati SPRM
Sedikit terlewat, namun PAS akhirnya muncul untuk memberi sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyerahkan memorandum sokongan kepada badan itu hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata semua mereka kesah kerana polis menyiasat dan menahan beberapa orang pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan dana RM2.6 bilion.
"Tindakan mengenakan tekanan kepada pegawai penyiasat secara tidak langsung menghalang proses siasatan dan menjadi kesalahan dibawah Seksyen 48 Akta SPRM," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat SPRM di Shah Alam.
Ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim ( gambar ) berkata semua pihak harus menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung tanpa perlu memberi tekanan kepada mereka.
"Pemuda PAS Selangor kesal dengan tindakan PDRM yang telah menyiasat dan menangkap beberapa orang pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan ini.
SPRM sambut baik
Beberapa pegawai SPRM sudah diambil keterangan, termasuk berpangkat pengarah, ekoran siasatan polis terhadap dana luar negara yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.
Ia dilihat SPRM sebagai suatu bentuk gangguan siasatan , namun sebaliknya polis menganggap tindakan itu masih dalam bidang kuasa mereka.
Menurut Syarhan Humaizi, Pemuda PAS Selangor berharap pegawai SPRM terus istiqamah menjalankan siasatan bagi mencari kebenaran.
"Insya-Allah kebenaran pasti ditemui dan kami berharap parti, masyarakat dapat memberikan sokongan kepada SPRM.
"Saya juga nasihatkan media supaya dapat membantu untuk menyebarkan berita tepat supaya sedikit sebanyak memudahkan SPRM menjalankan siasatan," katanya lagi.
Sementara itu menurut Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Selangor Azman Noha berkata pihak SPRM menyambut baik sokongan yang diberikan oleh PAS dan masyarakat keseluruhan.
"Alhamdulillah dapat sokongan yang diberikan Pemuda PAS dan akan menguatkan lagi azam kami untuk teruskan siasatan.
"Terima kasih banyak-banyak kepada Pemuda PAS yang datang menyatakan sokongan mereka kepad kami terutama menghadapi saat-saat yang agak mencabar ini," katanya.

