Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung derma sebanyak RM 2.6 bilion ke akaun perseorangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Timbalan ketuanya, Amiruddin Shari berkata badan pencegahan rasuah itu harus diberikan ruang secukupnya untuk menyiasat dengan seadil mungkin.

“Kita harap SPRM dapat diberikan ruang untuk menyiasat dengan seadil mungkin bagi memastikan kebenaran dapat dicipta berhubung sangkaan mahu pun penglibatan dana awam dalam 1MDB,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat SPRM Selangor sebentar tadi.

Malah, menurut Amiruddin yang exco kerajaan negeri menggesa semua pihak menghormati tugas pegawai-pegawai SPRM kerana mereka berhak untuk menyiasat sesiapa sahaja.

“Sebagai rakyat Malaysia kita akan pastikan sokongan serta solidariti kita agar SPRM dapat menjalankan tugas dengan berhemah serta diberi ruang untuk menyiasat sesiapa sahaja kerana tidak ada sesiapa yang boleh melepasi undang-undang di negara ini,” tegasnya.

Beberapa pegawai SPRM sudah diambil keterangan, termasuk berpangkat pengarah, ekoran siasatan polis terhadap dana luar negara yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Ia dilihat SPRM sebagai suatu bentuk gangguan siasatan, namun sebaliknya polis menganggap tindakan itu masih dalam bidang kuasa mereka.

Malah, beberapa badan bukan kerajaan serta parti politik pembangkang juga sudah membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa siasatan terperinci berhubung kontroversi 1MDB.