Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis membenarkan penganjuran Perhimpunan 808 yang akan diadakan di hadapan pejabat Majlis Peguam, Jalan Benteng, di Kuala Lumpur esok, yang bertujuan membantah penggantungan akhbar milik The Edge Media Group.

Penganjur perhimpunan itu bagaimanapun diingatkan supaya tidak membuat sebarang tindakan yang bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 termasuk membuat perarakan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata penganjur telah memberi jaminan untuk mengadakan perhimpunan secara tertib dan polis tidak mahu perhimpunan itu menjejaskan ketenteraman awam sepanjang ia berlangsung.

"Perarakan adalah dilarang sama sekali dan termaktub mengikut APA 2012. Jika keadaan tidak terkawal, polis akan mengambil tindakan kerana melanggar APA," katanya ketika dihubungi Bernama .

Terdahulu, wakil penganjur perhimpunan itu, Mohd Radzi Abdul Razak menemui Zainol di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi bagi memberikan maklum balas berkaitan jumlah peserta yang dijangka hadir, pengisian program dan peruntukan undang-undang perhimpunan.

Perhimpunan yang dijangka bermula kira-kira 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu, dianjurkan sekumpulan aktivis media bagi menunjukkan sokongan membantah penggantungan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial .

Permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 27 Julai lepas.

Tindakan itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan kedua-dua akhbar itu memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS