Pemuda PAS Selangor yakin ahli istiqamah
Pemuda PAS Selangor kelihatan sangat yakin ahli parti itu tidak akan terpengaruh dengan hasutan dan dakyah pihak lain yang didakwa mahu "memusnahkan" pertubuhan berkenaan.
Ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim, tidak kira apa parti sekali pun yang datang mengajak menyertai mereka, ahli akar umbi tetap akan setia kepada PAS.
“PAS Pusat telah keluarkan arahan agar ahli terus istiqamah dengan parti.
"Apa pun seruan mahupun dakyah pihak di luar sana, kita tetap istiqamah kepada parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, semalam.
Kata Syarhan Humaizi, tanpa mempedulikan siapa pun yang datang 'merisik' ahli parti itu, mereka tetap mendengar arahan daripada pemimpin untuk "terus istiqamah dengan PAS".
Syarhan Humaizi juga turut meminta ahli akar umbi memahami dasar perjuangan PAS agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan pihak luar.
“Sehingga hari ini tidak ada satu perkara dilakukan kepimpinan PAS melanggar dasar atau perlembagaan parti.
“Dalam perlembagaan parti kita memperjuangkan Islam. Jadi, tidak ada satu pun yang kita lihat menyanggahi dasar itu. Maka kita minta dan nasihat ahli berdiri teguh serta berpendirian tegas dalam perkara ini,” jelasnya.
Mengulas perkembangan hubungan dalam Pakatan Rakyat, Syarhan berkata, PAS masih menjalin kerjasama baik dengan PKR tetapi tidak dengan DAP.
Malah, beliau turut menafikan kewujudan Gerakan Harapan Baru menggugat perjalanan PAS ketika ini.
“Bahkan program anjuran kami masih mendapat sambutan menggalakkan,” ujarnya.

