Najib mahu Samy Vellu beri penjelasan di Dewan Rakyat

   

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu memberikan penjelasan di Dewan Rakyat mengenai isu-isu tentang pelbagai masalah yang berkaitan kementeriannya yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen semalam.

"Saya percaya Menteri Kerja Raya boleh memberi jawapan tentang perkara-perkara yang disentuh oleh ahli-ahli yang berhormat (anggota Parlimen).

"Oleh kerana ini dibangkitkan di Parlimen, maka wajar jawapan diberi kepada Dewan Parlimen pada masa yang terdekat ini berhubung isu-isu yang dibangkitkan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bernama , Najib berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai desakan beberapa Ahli Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat semalam supaya Samy Vellu meletak jawatan ekoran beberapa masalah yang dihadapi kementeriannya.

Masalah seperti tanah runtuh di Gua Tempurung dan masalah keretakan di 31 daripada 33 tiang penyokong jejantas di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) baru-baru ini menjadi tumpuan mereka dan mereka mendakwa menteri itu gagal menangani pelbagai masalah berkaitan kementeriannya sejak sekian lama.

Bila ditanya mengapa kontrak pembinaan, seperti projek MRR2, diberi kepada Bumi Hiway Ventures Bhd, Najib meminta supaya penjelasan penuh tentang perkara itu juga dibuat di Parlimen, memandangkan ia turut dibangkitkan di Parlimen.

Siasatan

Sementara itu, di Temerloh, Bernama turut melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memulakan siasatan berhubung dakwaan bahawa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur tidak mengikut penetapan.

Siasatan bermula 10 pagi tadi di km 103.3 berhampiran Kampung Lanchang dan km 120 lebuh raya itu berhampiran Kampung Awah, Temerloh.

Pegawai forensik kejuruteraan dan dua pegawai forensik dari BPR turut sama menjalankan siasatan itu.

Turut sama para pegawai dari MTD Capital Bhd, syarikat pemegang konsesi dan kontraktor lebuh raya itu, para pegawai dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Institut Kajian Kerja Raya (IKRAM) dan pegawai dari Syarikat Teracath Sdn Bhd, perunding pembinaan lebuh raya itu.

Pengarah BPR Pahang Rahim Mustakain yang ditemui pemberita berkata tidak ada tempoh khusus ditetapkan untuk menyiapkan siasatan itu.

Kemalangan

"Kajian dijalankan dengan menggerudi jalan berkenaan bagi mengambil sampel jalan tar di sebelah atas dan bahagian tanah jalan di km 103.3 untuk dihantar kepada makmal Institut Kajian Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur untuk siasatan," katanya.

LPT Fasa 1 sepanjang 169km dari Karak ke Kuantan dibuka pada 1 Ogos lepas, melibatkan kos RM7.5 juta bagi setiap kilometer.

Baru-baru ini, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meminta Samy Vellu meninjau sendiri lebuhraya itu setelah banyak kemalangan dilaporkan berlaku di lebuh raya berkenaan sejak ia dibuka.

Kajian IKRAM sebelum ini turut mengesahkan struktur permukaan laluan arah ke Kuantan antara Lanchang dan Temerloh tidak rata dan berbahaya untuk pemanduan melebihi 110km sejam.

Pada 10 Oktober lalu, Samy Vellu meminta MTD Capital Bhd menyiapkan kerja membaiki jajaran sepanjang 26km dari Lanchang ke Temerloh sebelum pertengahan bulan depan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In