Dulu saya tak pernah tanya, kata Najib
Datuk Seri Najib Razak mendedahkan, beliau tidak pernah mempertanyakan dana parti ketika beliau masih menjadi Naib Presiden Umno.
"Saya tak pernah tanya dana politik parti sebab itu kerja presiden.
"Semasa zaman Tun Dr Mahathir pun timbalan tak pernah tanya," katanya di Johor hari ini.
Presiden Umno itu dijemput merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Pasir Gudang hari ini.
Bahagian itu diketuai Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Besar Johor.
Najib berkata amalan memberi kepercayaan kepada presiden parti itu sudah diamalkan sejak lama dulu dan ia perlu diteruskan.
"Waktu saya jadi timbalan presiden, saya tak persoalkan dana parti sebab itu kerja presiden.
"Kita teruskan amalan parti. Yakinlah apa saya buat untuk kebaikan," katanya.

