Perubahan hak milik tapak bangunan Majlis Perbandaran Kajang kepada sebuah syarikat swasta didakwa mengesahkan banyak tanah milik kerajaan di daerah itu "telah tergadai."

Ahli Dewan Undangan Negeri PAS, Dr. Shafie Abu Bakar hari ini turut mendakwa kawasan tapak pasar yang ada kini, serta tanah di belakang kawasan itu, dan tanah di belakang hospital sehingga ke hadapan masjid bandar Kajang telah dimiliki pihak swasta.

Pertukaran hak milik tanah majlis itu dimaklumkan dalam sidang akhbar Yang Dipertua majlis, Md Yusup Badul pada 13 Jun lalu.

Dr Shafie berkata penyerahan hartanah awam yang strategik itu merugikan majlis perbandaran dan penduduk Kajang dalam jangka masa panjang.

"Mengapa MPKj (majlis perbandaran itu) terpaksa berundur di tepian bandar dan memberi ruang kepada swasta menguasai tapaknya yang berharga dan strategik itu," soal pemimpin pembangkang itu.

Menurut Dr Shafie, isu pertukaran hak milik tanah kerajaan kepada swasta telah dibangkitkan di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Disember tahun lalu dan ia sekali lagi ditimbulkan secara bertulis pada Mac.

Bagaimanapun, kerajaan tidak memberikan sebarang jawaban.

Malah ketika dihubungi malaysiakini pagi ini, beliau menjelaskan perkara tersebut juga pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa tanah Kajang.

Dr Shafie juga mempertikaikan sikap majlis itu yang gagal mendedahkan butiran, jumlah bayaran dan kelayakan syarikat yang mendapat milik tanah yang strategik itu di tengah bandar tersebut.

Bagaimanapun katanya, dalam sidang akhbar MPKj tersebut, Yusup sengaja tidak mahu mendedahkan nama syarikat terbabit.

Pejabat Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang gagal dihubungi.