Siasatan pada SRC diteruskan, kata SPRM
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap bekas anak syarikat 1MDB akan diteruskan seperti biasa, kata timbalan ketua pesuruhjaya (pencegahan) badan itu Datuk Mustafar Ali.
Beliau mengesahkan dua pengarahnya yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri minggu lalu akan kembali ke jawatan masing-masing di SPRM.
Katanya, kerja-kerja dan siasatan akan bersambung seperti biasa dengan bebas, telus dan profesional.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Izzah: Hasil tekanan rakyat
Sementara itu, PKR juga sebentar tadi melaungkan gesaan sama bahawa pembatalan arahan pindah terhadap dua pegawai kanan SPRM tidak cukup.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, kebebasan penuh harus diberikan kepada SPRM bagi meneruskan siasatan, termasuk berkaitan wang derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
“Pada saya itu atas sebab tekanan daripada masyarakat, pimpinan, dan orang ramai, jadi (batal arahan pindah itu) tidak mencukupi.
“Sekarang kita masih mahu siasatan diteruskan, kita mahu SPRM diberikan kekuatan dan sepenuh profesional dan kebebasan penuh untuk meneruskan siasatan.
“Kita harus tahu adakah kertas pendakwaan perdana menteri itu benar-benar wujud dan benar-benar sah.
“Saya fikir bila cakap tentang kes yang melibatkan perdana menteri sendiri , kita mahu kenyataan yang berterusan, konsisten dan terkini,” katanya.
Polis sebelum ini menyiasat dakwaan kebocoran kertas itu – tindakan yang dianggap SPRM sebagai gangguan pada siasatan kes berprofil tinggi yang sedang dijalankan mereka.
Nurul Izzah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis ulang tahun kelahiran ayahnya di luar penjara Sungai Buloh.

