KJ juga mahu sidang khas lantik bos baru PAC
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa sidang khas Parlimen diadakan bagi melantik pengerusi baru Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan segera.
Menurut Khairy, ini kerana jawatankuasa itu sedang menjalankan siasatan 1MDB yang menjadi isu besar kepada negara kini.
“Kalau boleh kita segerakan pembentukan semula jawatankuasa kira-kira wang negara sebab ini, bukan hanya pembentukan PAC tetapi jawatankuasa itu kini sedang berdepan dengan isu yang besar dan tidak boleh dilengahkan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan majlis rumah terbuka Kementerian Beliau dan Sukan di Bukit Jalil.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebelum ini menimbulkan isu khas itu bagi memilih pengganti Datuk Nur Jazlan Mohamad yang dilantik menyertai kabinet.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sidang sehari itu boleh diadakan bulan depan dan tidak perlu menunggu sehingga Oktober bagi menunggu sidang bermula.
Beliau berkata, tanpa pengerusi baharu, PAC tidak dapat meneruskan siasatan 1MDB atau memanggil saksi bagi membantu siasatan.

