Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aziz: Pindah ke Terminal 1 KKIA arahan k'jaan
Diterbitkan:  Aug 11, 2015 5:21 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) perlu berpindah ke Terminal 1 lapangan terbang itu dalam masa terdekat bagi menampung lebih ramai penumpang dari dalam serta luar negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi menegaskan, semua syarikat penerbangan termasuk AirAsia Bhd yang mahu kekal beroperasi di Terminal 2, telah diarah berpindah ke Terminal 1 pada 1 Ogos lepas.

"Ini arahan kerajaan... semua syarikat penerbangan termasuk AirAsia perlu berpindah ke Terminal 1 selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Hari Raya dan Sambutan 130 Tahun Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di ibunegara hari ini. Hadir sama, Presiden KTMB, Lt Kol (B) Sarbini Tijan.

Semalam, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mahu semua operasi syarikat penerbangan di KKIA diletakkan di bawah satu bumbung demi keselesaan penumpang serta kecekapan operasi.

Pada Julai lepas, AirAsia Bhd memutuskan untuk kekal beroperasi di Terminal 2 walaupun telah mendapat arahan berpindah ke Terminal 1 pada 1 Ogos lepas.

AirAsia memberi alasan pemindahan itu akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan peningkatan caj perkhidmatan penumpang daripada RM32 kepada RM65 seorang yang dikenakan terhadap penumpang antarabangsa, ketika ini.

 

Sementara itu, Sarbini berkata pihaknya akan memperkenalkan perkhidmatan kereta api baharu Ekspress Langkawi yang akan dimulakan dari Johor Bahru Sentral ke Hat Yai, Thailand pada 1 September ini.

"Sebelum ini perkhidmatan itu hanya tertumpu kepada KL-Hat Yai dan Hat Yai-KL, namun bermula 1 September ini, ia akan dilanjutkan ke Johor Bahru Sentral.

"Penumpang-penumpang dari Batam, Indonesia serta Johor boleh ke Selatan Thailand dan sebaliknya dengan menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS