Ketibaan konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 di Kampung Sri Gajah, Chaah di Segamat disambut meriah lebih 3,000 rakyat berbilang kaum.

Keberangkatan tiba Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Konvoi baginda dan Ahmad Zahid yang menunggang motosikal berkuasa besar itu tiba kira-kira pukul 3 petang dari Padang Awam Lenga, Muar.

Turut berangkat ke Kampung Sri Gajah di Segamat ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersama-sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera-putera baginda.

Baginda dan Ahmad Zahid kemudiannya mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bermesra dengan rakyat kira-kira sejam.

Terdahulu, pada sebelah pagi di Padang Awam Lenga, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM1 juta bagi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan RM1 juta bagi mengisi tabung KMJ kepada Sultan Ibrahim.

Turut hadir di Muar itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ahli Parlimen Pagoh.

KMJ 2015 yang memasuki siri ke-18 dengan tema 'Muafakat Bangsa Johor' bermula semalam hingga Khamis ini.

Sementara itu seorang penduduk, Razali Razak, 45, berkata beliau teruja menyambut ketibaan baginda yang sememangnya sangat mengambil berat kehidupan rakyat Johor.

"Alhamdulillah hari ini saya dan keluarga dapat melihat dari dekat baginda dan keluarga, sebagai rakyat saya begitu terharu dengan kedatangan rombongan KMJ ini," katanya.

- Bernama