KDN belum buat sebarang keputusan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bahawa beberapa syarikat tempatan termasuk Realtime Networking Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyediakan sistem pengurusan pekerja asing.
Bagaimanapun, kementerian itu belum membuat sebarang keputusan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu, KDN juga merujuk kepada kandungan sebuah artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini mengenai nota Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kepada ketua setiausaha KDN terhadap permohonan syarikat Realtime Networking Sdn Bhd.
Syarikat Realtime Networking Sdn Bhd dimiliki oleh Abdul Hakim Hamidi, yang merupakan adik lelaki Zahid.
"Ingin dijelaskan bahawa nota berkenaan bersifat umum dan bukan satu bentuk arahan atau kelulusan," tegas KDN lagi
Katanya, ini kerana semua cadangan dari syarikat-syarikat yang berkaitan sistem, akan diteliti dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa di kementerian terlebih dahulu, mengikut prosedur sedia ada.
Menurut KDN lagi, kementerian itu belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan kemasukan secara talian pekerja Bangladesh ke Malaysia.
Dalam masa yang sama, tambahnya, kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan terus berbincang bagi memastikan proses penghantaran pulang pekerja sedia ada secara tidak sah diselesaikan segera.
"Dan bekerjasama mewujudkan proses pengambilan pekerja baru secara berperingkat serta dilaksanakan dengan cara telus dan teratur, termasuk menggunakan kaedah pengurusan pekerja asing secara atas talian," katanya.
Dalam hal ini, katanya, kerajaan akan menimbangkan untuk melibatkan beberapa pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan bagi membantu melancarkan operasi agensi kerajaan bagi tujuan tersebut.

