'Wang itu 26 kali ganda jumlah dibenar'
PKR hari ini menjelaskan mereka membuat keputusan menyaman Datuk Seri Najib Razak susulan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaunnya kerana jumlah itu terlalu besar.
“Ternyata, RM2.6 bilion yang digunakan ini melebihi 26 kali ganda had yang dibenarkan seperti digariskan oleh undang-undang Malaysia,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Izzah juga mendakwa pelbagai amalan korup dilakukan BN untuk menang dalam pilihan raya umum ke-13.
Izzah juga membangkitkan berhubung amalan rasuah yang didakwanya berlaku terang-terangan terapi tidak diendahkan, seperti kes popular “I help you, you help me” dalam pilihan raya kecil Sibu beberapa tahun sebelum ini.
SPR lima tahun lalu menjelaskan untuk mengatakan perkara itu salah ia mesti dibuktikan mempengaruhi pemilih tetapi ia sukar dilakukan kerana undi adalah rahsia.
“Pentafsiran undang-undang yang berubah mengikut kepentingan berpihak; sepertimana kes di Sibu, dilihat cuma memenuhi kepentingan BN sahaja tanpa mengambil kira peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara,” dakwa Izzah.

