Affin beli tanah 1MDB, kepentingan tentera terjejas?
Pembangkang menyatakan kebimbangan terjejasnya kepentingan anggota tentera dengan tindakan Affin Bank Bhd memperoleh tanah 0.51 hektar di Tun Razak Exchange (TRX) daripada KLIFD Sdn Bhd dengan harga RM255 juta.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pengumuman Affin Holdings Bhd, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), menghairankan serta meragukan.
“PKR mempersoalkan tujuan Bank Affin membelanjakan ratusan juta ringgit sedangkan bank yang dikuasai LTAT secara tidak langsung itu sudah memiliki bangunan ibu pejabat mewah di Jalan Raja Chulan (di ibu negara),” katanya.
KLIFD adalah anak syarikat 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), pemaju utama TRX. Ia juga anak syarikat milik penuh syarikat pelaburan negara 1MDB.
Malah, kata Fahmi, prestasi kewangan Affin Holdings dan Affin Bank tidak memberikan keyakinan dan rangsangan kepada mereka untuk membelanjakan ratusan juta ringgit lagi untuk sebuah pejabat baru.
“Saya juga meminta pimpinan LTAT mengambil tindakan segera supaya Affin Holdings dan Affin Bank mengkaji semula perjanjian jual beli tanah dengan 1MDB ini bagi mempertahankan kepentingan LTAT serta kepentingan anggota tentera,” katanya.
Konflik kepentingan?
Fahmi juga mendakwa terdapat percanggahan kepentingan apabila pengerusi lembaga pengarah 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin juga timbalan pengerusi lembaga pengarah Affin Holdings Bhd.
“Amat penting untuk kita ketahui sama ada Tan Sri Lodin telah mengundi di dalam isu pembelian tanah ini?
“Beliau perlu memberikan penjelasan agar tidak timbul persepsi yang tidak baik mengenai isu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil pada 10 Ogos dilapor berkata Affin Bank pada 10 Ogos memperoleh tanah TRX daripada KLIFD.
Katanya, pembangunan di situ akan mempunyai keluasan lantai kasar berjumlah 823.439 kaki persegi dan syarikat itu, yang tidak mempunyai 'tempat tinggal' selama 40 tahun, bakal menempatkan ibu pejabat baru setinggi 35 tingkat.
Beliau ketika ditanya mengenai jika pengambilalihan ini akan membabitkan konflik kepentingan yang membabitkan Lodin , berkata: "Dia (Lodin) tidak menyertai proses membuat keputusan. Pembelian dibuat untuk diri kami."
Pembelian itu juga tidak memerlukan kelulusan daripada para pemegang saham, katanya lagi.

