Sebanyak 81,000 daripada kira-kira 240,000 perniagaan kumpulan kedua yang berdaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan tempoh bercukai tiga bulan sekali, belum mengemukakan penyata GST-03 masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Khazali Ahmad berkata kumpulan syarikat itu diberi masa sehingga Jumaat ini untuk berbuat demikian di pejabat GST di seluruh negara.

"Saya menyeru kepada syarikat yang masih belum mengemukakan penyata GST agar berbuat demikian dalam tempoh tiga hari ini bagi mengelak kesulitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) JKDM peringkat kebangsaan ke-16 di Melaka hari ini.

Khazali berkata kira-kira 98 peratus daripada 70,000 syarikat berdaftar dalam kumpulan pertama bagi tempoh bercukai sebulan sekali telah mengemukakan penyata GST-03 masing-masing.

Ia sekaligus menunjukkan syarikat berdaftar GST memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan cukai itu dapat dikutip oleh kerajaan, katanya.

Syarikat yang menghadapi kesukaran untuk mengemukakan penyata GST atau tidak memahami proses berhubung perkara berkenaan boleh hadir di pejabat GST JKDM berhampiran bagi mendapatkan bantuan, katanya.

"Kita juga akan melanjutkan operasi di pejabat GST JKDM dalam tempoh tiga hari ini untuk memudahkan syarikat mengemukakan penyata GST mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khazali berkata JKDM akan mengkomersialkan alat penapis minyak bot yang dikenali sebagai 'As-Min', ciptaan kumpulan Kumtum dari JKDM Batu Pahat, Johor, yang dipilih sebagai johan bahagian teknikal pada KIK ke-15 tahun lepas.

Beliau berkata 'As-Min' berupaya meningkatkan prestasi serta jangka hayat penapis minyak pakai buang yang digunakan pada bot dan memudahkan kerja pembersihan penapis minyak untuk digunakan semula.

Katanya JKDM akan bekerjasama dengan syarikat Zull Design Autotronic untuk mengeluarkan dan mempromosikan produk inovasi berkenaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

- Bernama