Annuar Musa dilantik semula pengerusi MARA
Diterbitkan: Aug 12, 2015 5:31 PM | Dikemas kini: Aug 12, 2015 5:44 PM
Tan Sri Annuar Musa dilantik semula sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Annuar, 59, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno dan ahli Parlimen Ketereh, menyandang jawatan pengerusi Mara sejak 2013.
Anuar, yang turut menyandang jawatan timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia bagi tempoh 2010 hingga kini, pernah menyandang jawatan menteri belia dan sukan (1990-1993) dan menteri pembangunan luar bandar (1993-1999).
Zahidi pengerusi Risda
Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri juga mengumumkan pelantikan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai pengerusi pihak berkuasa kemajuan pekebun kecil perusahaan getah (Risda) berkuat kuasa pada 1 September depan.
Zahidi, 54, ialah anggota Parlimen Padang Besar.
"Kedua-dua pelantikan ini dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak," kata Ismail Sabri.
Beliau percaya Annuar dan Zahidi masing-masing dapat memimpin Mara dan Risda dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara.
- Bernama

