Tiada sidang khas, ketua baru PAC dilantik Okt ini
Kabinet tidak akan memanggil sidang khas Parlimen untuk melantik pengerusi baru Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan mengisi tiga kekosongan anggota PAC lain.
Sebaliknya, pelantikan pengerusi dan ahli PAC akan dibuat selepas anggota Jawatankuasa Pemilih, yang bertanggungjawab melantik keanggotaan PAC, ditukar pada sidang Parlimen Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata pertukaran dan pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih akan dibuat pada hari pertama sidang Parlimen pada 19 Oktober ini.
"Pelantikan pengerusi dan anggota Jawatankuasa PAC akan dilakukan sebaik sahaja pertukaran Anggota Jawatankuasa Pemilih selesai dilakukan.
"Selepas itu, PAC dapat meneruskan semua tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdapat kekosongan dalam jawatankuasa pemilih tujuh anggota itu, ekoran rombakan kabinet baru-baru ini yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk G Palanivel digugurkan.
Seorang lagi anggotanya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga perlu diganti.
Manakala Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri.
Dua lagi ahli PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Reezal Merican Naina Merican, juga dilantik sebagai timbalan menteri, manakala Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.
Azalina berkata, tindakan itu dibuat selepas mengambil kira pertukaran jawatan Ketua Pembangkang dan penyusunan semula Jemaah Menteri pada 29 Julai lepas.
Azalina menegaskan kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja.
Katanya kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan anggota Jawatankuasa Pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini.
Kerajaan juga perlu mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama baharu dicadangkan bagi menggantikan beberapa anggota Jawatankuasa Pemilih, katanya.
"Anggota Jawatankuasa Pemilih terdiri daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
"Sehubungan itu, parti akan mencadangkan beberapa nama baharu termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip yang baharu dan pada masa sama, terdapat pertukaran anggota Jawatankuasa yang mewakili MIC," katanya.
Bagi pihak pembangkang, katanya, ada kebarangkalian nama baharu akan dicadangkan daripada PAS berikutan pecahan mereka daripada perikatan bersama DAP dan PKR.
Azalina berkata Ketua Pembangkang juga akan digantikan dengan anggota Parlimen baru Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
- Bernama

