Pakatan baru perlu tangani masalah lama
Selepas kemangkatan Pakatan Rakyat, satu parti baru dengan nama Gerakan Harapan Baru (GHB) muncul sebagai ubat kepada segala permasalahan yang wujud hari ini.
Jika mengikut skrip DAP, GHB akan bergabung bersama DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan baru. Pakatan baru ini mendapat suntikan tenaga apabila Anwar Ibrahim daripada penjara Sungai Buloh melalui peguamnya memberikan lampu hijau.
Situasi ini menyebabkan PAS semakin dipinggirkan walaupun sebagai parti yang begitu besar dan berusia lama, sudah tentunya pengaruh parti tersebut tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja. Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa satu gabungan baru mengantikan Pakatan hampir pasti.
Sekali pandang, muka-muka yang bersama GHB, sememangnya merekalah komrad seperjuangan dalam banyak isu yang melibatkan isu rakyat. Puak GHB nampaknya lebih selesa dan mesra dengan imej negara kita sebagai sebuah negara majmuk pelbagai etnik.
Namun saya ingin mengetengahkan beberapa persoalan dan kritikan. Adalah diharap kritikan saya tidak disalahtafsir sebagai “penulis upahan Umno” seperti yang sering digelarkan oleh beberapa orang dalam pembangkang setiap kali mereka dikritik.
Isu yang ingin diketengahkan adalah sejauh mana apa yang disebutkan sebagai Harapan Baru bersedia menangani masalah lama.
Dalam keadaan politik negara kita dan urus tadbir di bawah Najib Tun Razak, nampaknya puak yang memerintah mengalami tentangan yang paling hebat dari dalam, sehinggakan perdana menteri terpaksa menyingkirkan timbalannya dan beberapa orang menteri.
Dalam rampasan kuasa mini ini, perdana menteri dapat memastikan semua institusi penting seperti peguam negara, polis dan institusi kewangan berada di bawah kawalan penuhnya dan menari dengan rentak yang sama.
Pada masa yang sama, nampaknya pihak pembangkang begitu lemah sekali dan Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilihat muncul sebagai hero untuk menyelamatkan negara.
Maka tepat sekali masanya untuk kumpulan yang membawa harapan baru ini untuk muncul, tetapi banyak soalan masih perlu dijelaskan.
Tidak memadai jika GHB hanya sekadar mengambil posisi ABU (Asalkan Bukan Umno). Rakyat harus mendapat penjelasan sepenuhnya apakah itu GHB atau apakah bezanya Pakatan baru ini.
Untuk menyelesaikan masalah politik negara, kita memerlukan satu pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salah tadbir negara, kita memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita memerlukan satu sistem baru.
Isu pokok
Ada dua isu yang GHB harus selesaikan iaitu bagaimana menyelesaikan kesengaraan rakyat serta isu melibatkan persoalan bahasa, budaya dan agama.
Masalah kesengsaraan rakyat ini berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisme yang dianuti di negara kita dan yang dipercayai oleh BN dan juga PR.
Sistem ini mementingkan kepentingan pelabur, mengagungkan penswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan mudah setuju dengan perjanjian antarabangsa seperti TPPA.
Usaha untuk melawan sistem ini terhalang oleh masalah perpaduan yang rapuh kerana kita sering bertelingkah dalam isu-isu perkauman seperti isu hudud, negara Islam, bahasa ibunda, isu penukaran agama dan sebagainya.
Maka tiada gunanya untuk melaungkan slogan harapan baru jika isu asas dan fundamental seperti hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan tidak ditangani.
Pakatan Rakyat tiada persefahaman dalam isu ini adalah kerana ia berakar umbikan isu perkauman. Maka GHB dan Pakatan baru harus membentuk pendirian tegas dan tidak hanya “setuju untuk tidak setuju”.
Pendirian Pakatan Rakyat sebelum ini memang banyak bercanggah, contohnya dalam isu TPPA. Pakatan mahu ketelusan tetapi tidak membantah sepenuhnya TPPA kerana mereka masih mahu berjinak-jinak dengan kapitalis Amerika Syarikat dan antarabangsa.
Dalam isu gaji minimum, Lim Guan Eng contohnya meminta pekerja asing dikecualikan dari diberi gaji minimum dan pendirian ini bercanggah pula dengan PKR.
Kerajaan negeri Pakatan juga mempromosi pelancongan kesihatan walaupun langkah tersebut akan melemahkan institusi hospital awam.
Bagaimana pula dengan polisi alam sekitar? Apakah pendirian GHB atau parti pakatan baru mengenai isu nuklear umpamanya? Isu ini perlu dijawab kerana kita tidak mahu pakatan baru masih bergelut dengan percanggahan dan kelemahan sebelum ini.
Politik pergabungan
Parti yang ingin memerintah ini hanya boleh berbuat demikian melalui politik pergabungan. Dengan lain perkataan, mustahil untuk mana-mana parti sama ada DAP, PAS, PKR mahupun GHB untuk membentuk kerajaan secara solo atau persendirian.
Ini memang difahami oleh mereka semua dan memang politik pergabungan menjadi sebahagian daripada resepi politik negara.
Kita melihat kepada masalah yang dihadapi semua gabungan baik gabungan haluan kiri seperti PUTERA-AMCJA, Barisan Sosialis mahupun gabungan pembangkang seperti Gagasan Rakyat dan APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat.
Nyata sekali mereka tidak dapat menyelesaikan isu yang menjurus kepada persoalan nasional dan perkauman. Mungkin parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.
Sejarah mengajar kita bahawa pakatan pembangkang pecah kerana isu bahasa, isu sekolah vernakular, isu hudud dan isu negara Islam. Jika pakatan baru tidak menangani isu ini, maka sudah pastinya ia juga akan mengalami nasib yang sama.
Barisan Sosialis Rakyat Malaya atau Malayan People Socialist Front contohnya merupakan bagi gan gandingan Parti Buruh dan Parti Rakyat. Mereka juga mempunyai satu program yang cukup hebat. Mereka mempromosikan bahawa semua perbezaan mengikut perkauman adalah salah.
Gabungan ini menganjurkan bahawa rakyat hanya harus dipisahkan antara penindas dan mereka yang ditindas. Mereka juga mengusulkan dasar satu bahasa untuk menyatukan kaum pekerja dan membina satu bangsa Malaya melalui budaya, seni dan kesusasteraan yang mempunyai kaitan langsung dengan massa.
Namun demikian gabungan ini mengalami pelbagai masalah dalam persoalan bahasa dan budaya.. Pada tahun 1965, wujud perpecahan antara Parti Rakyat dan Parti Buruh atas isu budaya dan bahasa – bahasa kebangsaaan vs bahasa ibunda. Parti Rakyat setuju dengan Laporan Rahman Talib, yang dibantah oleh PB.
Selain itu, perbezaan wujud dalam isu kesamarataan dan hak ethnik, isu hak keistimewaan orang Melayu serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan juga usul menghakmilikan ekonomi negara.
Disebabkan gagal mengatasi masalah ini, Barisan Sosialis berpecah pada tahun 1966.
Selepas peristiwa 13 Mei dan pengenalan Dasar Ekonomi Baru, parti-parti baru yang wujud terus membentuk gabungan tetapi kesemua gabungan ini berpecah kerana isu agama dan bahasa. Malah gabungan parti selepas DEB pula tidak berlandaskan perjuangan kelas seperti dalam era sebelum kemerdekaan atau dalam tahun 1960-an.
Konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh Gagasan Rakyat&APU, kemudiannya Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat adalah isu mengenai isu negara Islam dan Hudud. Maka GHB atau pakatan baru ini tidak harus menyorok semua percanggahan ini ke bawah tikar dan hanya cuba menang dengan sentimen popular seperti isu 1MDB dan kemewahan Rosmah.
Keistimewaan PUTERA -AMCJA
Namun dalam situasi hari ini, Anwar Ibrahim dan GHB sering mengatakan bahawa gabungan baru ini adalah gabungan parti politik dan NGO. Beberapa nama NGO juga dilontarkan seperti BERSIH , IKRAM, ABIM dan lain-lain. Namun demikian, tidak ada setakat ini sebarang perbincangan atau dokumen yang dibinangkan . Semuanya samar-samar sahaja.
Maka adalah penting kita cuba belajar dari gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya, mereka mengambil masa yang begitu lama untuk mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat.
Selain itu mereka juga berjaya menganjurkan hartal SeMalaya pada 20 Oktober 1947. Tidak ada gerakan massa yang dianjurkan pada masa ini yang boleh dibanding dengan kita.
BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Kelang dan bandar-bandar sahaja.
PUTERA-AMCJA berjaya menggabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar bandar.
Antara organisasi di bawah AMCJA adalah Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang menyatukan dua pertiga daripada keseluruhan kaum pekerja berbanding dengan MTUC yang hanya mempunyai sokongan 6 peratus kaum pekerja hari ini.
PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , HIZBUL MUSLIMIN dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda)
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang mereka terbitkan. Yang lebih aneh adalah Gabungan AMCJA yang majoritinya bukan Melayu telah mengusulkan antaranya usul mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri.
Mereka juga mengusulkan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu dan jika dilihat usul yang dibawa oleh PUTERA yang boleh diterima oleh AMCJA adalah bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan kerakyatan Malaya harus dinamakan “Melayu”.
Jika kita meninjau pada ketika itu, dua isu menjadi isu pertelingkahan iaitu isu soal kerakyatan (jus soli) yang AMCJA sokong tetapi PUTERA keberatan dan begitu juga isu nama kerakyatan dimana PUTERA mengusulkan Melayu manakala AMCJA pula Malayan.
Namun atas kebijaksanaan Dr Burhanuddin Helmy, Tan Cheng Lock dan Ahmad Boestaman mereka berjaya mencapai satu kompromi di mana kerakyatan dibuka kepada semua dengan syarat semua menerima konsep negara sebagai Melayu.
Dengan kompromi dan tolak ansur, mereka berjaya menyelesaikan satu isu perkauman dengan amat bijak sekali. Penyelesaian mereka bukan pecah masyarakat kepada dua golongan tetapi mencari penyatuan bersama.
JIka PUTERA-AMCJA tidak dihancurkan melalui Darurat 1948 yang dibawa oleh British untuk membolehkan Umno memerintah, maka kita akan berdiri di bawah Perlembagaan Rakyat di mana kita tidak lagi dipanggil Melayu, Cina, India dan lain-lain dan kita semua akan mempunyai satu identiti.
Maka apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius ke atas isu utama dan perbincangan isu pokok supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan terus berulang.
Ini adalah cabaran untuk GHB dan pakatan baru. GHB harus berani menghadapi masalah lama dan cuba mengatasinya.
S ARUTCHELVAN ahli jawatankuasa pusat PSM.

