Ringgit susut semula ke tahap 4.00
Ringgit susut kembali ke tahap 4.00, selepas menyentuh 3.99 untuk sebentar sahaja pada awal dagangan hari ini, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, mata wang tempatan itu disebut harga pada 4.0080/0130 berbanding dolar US yang merekodkan 4.0375/0415 semalam.
Peniaga itu berkata ringgit naik sedikit hari ini, berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih baik iaitu sebanyak 4.9 peratus bagi suku kedua 2015 berbanding dengan 5.6 peratus pada suku pertama.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata bank pusat tidak akan menambat ringgit atau memperkenalkan kawalan modal bagi memerangi kejatuhan nilai mata wang tempatan.
Ini membantu untuk meningkatkan ringgit sedikit.
Ringgit telah merosot lebih 12 peratus tahun ini, menjadikan ianya mata wang baru muncul Asia yang mempunyai prestasi paling lemah.
Pengurus Kanan untuk Bon dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng, memberitahu Bernama ringgit terus terdedah apabila pelabur hilang keyakinan berikutan kejatuhan harga komoditi dan selepas China menurunkan nilai mata wang, tunduk kepada tekanan jualan dalam mata wang serantau termasuk ringgit.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8725/8765 daripada 2.8619/8659 pada Rabu. Ringgit adalah lebih tinggi berbanding yen pada 3.2172/2215 daripada 3.2388/2431 semalam.
Ringgit mengukuh berbanding pound sterling kepada 6.2561/2655 daripada 6.2876/2950 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.4561/4625 daripada 4.4941/4998 sebelum ini.
- Bernama

