Tiada sebarang gangguan penerbangan yang berlaku disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak pembukaannya pada Mei 2014, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata bagi purata harian, jumlah keperluan syarikat penerbangan bagi penggunaan ruang parkir pesawat pada siang hari ialah antara 30 dan 35 ruang dan bilangan meningkat kepada antara 55 dan 60 ruang pada waktu malam. 

"Meskipun penutupan beberapa ruang parkir bagi kerja pembaikan berjadual, selalunya ada sekurang-kurangnya 60 ruang yang tersedia pada siang hari dan 66 ruang pada waktu malam. 

"Justeru itu, tidak berlaku sebarang situasi operasi syarikat penerbangan terganggu disebabkan oleh penutupan ruang parkir," kata MAHB dalam satu kenyataan hari ini. 

MAHB juga menafikan dakwaan AirAsia mengenai kekerapan penukaran ruang parkir yang menjejaskan operasi penerbangannya apabila data daripada pusat operasi penerbangan sejak beberapa bulan lepas menunjukkan 85 peratus penukaran ruang parkir adalah berpunca daripada permintaan oleh syarikat penerbangan.

"Terdapat banyak alasan penukaran ruang parkir seperti ketibaan dan berlepas lewat, penukaran pesawat dan pengendali syarikat penerbangan menunda pesawat ke

ruang parkir yang salah," kata pengendali lapangan terbang itu.

- Bernama