Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa PKR mahu lancar 'Bebas Universiti'
Diterbitkan:  Aug 14, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Biro siswa PKR, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) akan melancarkan kempen “Bebas Universiti” sebagai bantahan ke atas tindakan Universiti Islam Antarabangsa yang menggantung pengajian dua pemimpin pelajar kampus itu kerana menganjurkan satu forum.

Jurucakap MKM, Mohammad Zaki Abdul Shukor berkata kumpulan siswa itu juga mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pentadbiran UIA untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Hukuman ini bukan sahaja berat dan tidak munasabah, tetapi merupakan satu lagi bentuk serangan kepada kebebasan akademik terhadap institusi pengajian tempatan.

"(Oleh itu), MKM akan melancarkan kempen Bebas Universiti yang akan diusahakan bersama badan mahasiswa yang lain," kata Mohammad Zaki dalam kenyataannya.

"Kedua, MKM mencadangkan agar tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap pentadbiran universiti yang tunduk kepada tekanan politik untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa yang melampau oleh mana-mana pentadbiran universiti selepas ini," tambahnya.

Sementara itu, setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli berkata, program jelajah berkenaan akan mensasarkan universiti di seluruh negara untuk menggiatkan golongan siswa.

“(PKR) akan bersama-sama menjelajah ke seberapa banyak kampus di seluruh negara untuk memberikan penerangan dan berdebat mengenai GST untuk mempertahankan hak mahasiswa bersuara”.

Katanya, parti itu juga akan membentuk tabung, melalui MKM, untuk membela aktivis siswa yang dikenakan tindakan seperti Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUIA) Hanif Mahpa dan pengerusi sekretariat akademik dan intelektual MPPUIA, Afiqah Zulkifli.

Tambahnya, beliau juga akan melantik kedua-dua pemimpin siswa terbabit bertugas di bawahnya sepanjang tempoh penggantungan pengajian.

Kedua-dua pemimpin siswa tersebut dikenakan tindakan gantung pengajian selama dua semester dan diberi amaran keras oleh UIA ekoran penganjuran Forum GST pada 13 Mei 2015.

Forum pada 13 Mei bertukar kecoh apabila polis menyekat Rafizi Ramli daripada berucap di majlis berkenaan.

Seorang lagi pemimpin politik, bekas anggota exco Pemuda Umno, Lokman Adam bagaimanapun dibenarkan berucap di acara sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS