Arahan penggantungan lesen penerbitan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly selama tiga bulan, kekal selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan daripada penerbit akhbar itu hari ini.
Dalam membuat keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Asmabi Mohamad menerima alasan dikemukakan peguam kanan persekutuan Alice Loke.
Menurut hakim, keputusan mahkamah menolak permohonan penangguhan itu tidak menyebabkan reputasi syarikat itu tercalar kerana akhbar berkenaan masih boleh mendapat pampasan jika mahkamah membenarkan semakan kehakiman dibuat.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 September ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman daripada The Edge.
Penerbitan tersebut digantung selama tiga bulan mulai 27 Julai lalu.
The Edge Communications Sdn Bhd menamakan Kementerian Dalam Negeri dan ketua setiausahanya dan menteri sebagai responden dalam semakan kehakiman berkenaan.
