'Bubble girl' Marissa meninggal dunia
Marissa Hani Mohammed Zubir yang menghidap penyakit gabungan kurang daya ketahanan badan (SCID) atau lebih dikenali sebagai 'bubble boy disease' meninggal dunia setelah 47 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.
Marissa, 2, kanak-kanak pertama di Malaysia yang berjaya menjalani pemindahan sum-sum tulang pada tahun lepas iaitu penderma merupakan ibu kandungnya sendiri, iaitu Nazellynakmar Kamarudin, meninggal dunia di hospital itu pada 2.26 petang semalam akibat 'severe ventriculitis with hydrocephalus' (memampatkan stem otak akibat SCID).
Nazellynakmar, 39, yang merupakan petugas bahagian pentadbiran di Jabatan Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) berkata arwah anaknya telah dimasukkan ke ICU sejak 28 Jun lepas kerana masalah pernafasan sebelum keadaannya menjadi separa koma.
"Keputusan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada 4 Ogos lepas doktor mendapati terdapat kuman lama yang sedang membesar dan menekan saraf tunjang menyebabkan Marissa Hani separa koma hingga menghembuskan nafasnya petang
semalam," katanya kepada Bernama hari ini.
Marissa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di ibunegara hari ini, setelah disembahyangkan di rumah datuknya di Taman Sri Keramat Tengah, Ampang di Ulu Kelang.
Arwah dikebumikan bersebelahan kubur kakak dan abangnya iaitu Sofea Hani dan Muhammad Zulhakimi, anak ketiga dan keempat Nazellynakmar yang meninggal dunia pada tahun 2008 dan 2010 pada usia lima bulan 11 hari dan satu bulan 21 hari.
Nazellynakmar berkata beliau reda dengan pemergian anaknya kerana mereka sekeluarga telah berusaha memberikan perubatan yang terbaik kepada arwah dengan menggunakan kepakaran dari dalam dan luar negara dan telah mendapat rawatan sebaik-baiknya dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang.
Marissa dikesan menghidap penyakit SCID beberapa bulan selepas dilahirkan, iaitu penyakit daripada kumpulan 'Imunodefisiensi Primer' yang berpunca lemah daya imun sejak lahir.
Nazellynakmar berkata semasa anaknya masih ada, Marissa merupakan seorang kanak-kanak yang periang, kuat semangat dan tabah walaupun sering keluar dan masuk hospital dan berhadapan dengan rawatan yang menyakitkan.
SCID adalah penyakit genetik dan bayi yang menghidap SCID selalunya akan mengalami ciri-ciri klinikal yang sangat teruk akibat daripada pelbagai jangkitan di peringkat bayi lagi.
Ia juga sering dikenali sebagai 'bubble boy disease' yang merujuk kepada pesakit kanak-kanak bernama David Vetter yang menjalani kehidupan di dalam gelembung plastik yang bebas kuman sejak lahir sehingga akhir hayatnya.
- Bernama

