Petronas tetap akan bayar dividen
Petronas akan tetap membayar RM26 bilion dividen kepada kerajaan persekutuan walaupun aliran tunainya yang lemah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin di satu sidang akhbar hari ini.
"Kami masih komited untuk membayar RM26 bilion," kata Wan Zulkiflee semasa pembentangan keputusan kewangan Petronas bagi suku kedua (Q2) bagi 2015 hari ini.
Wan Zulkiflee berkata Petronas tidak menjangka aliran tunai daripada operasi tahun ini dapat memenuhi komitmen perbelanjaan modal dan komitmen dividen, maka syarikat itu perlu memanfaatkan rizab tunainya dan mengambil langkah-langkah penjimatan untuk menampung sebarang kekurangan.
Beliau menjelaskan bahawa pengurusan tunai yang berhemat pada masa lalu telah menyediakan rizab kewangan yang mencukupi bagi syarikat itu.
Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.1 bilion bagi Q2, 2015, merosot 47 peratus, manakala pendapatan merosot 28 peratus kepada RM61.3 bilion disebabkan harga purata yang rendah bagi semua produk.
Manakala prestasi yang lebih lemah sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan jumlah dan harga gas asli cecair (LNG) yang rendah, Petronas berkata ia diimbangi oleh harga mentah Brent yang tinggi, margin penapisan yang lebih kukuh, kecekapan operasi yang baik, dan dolar AS yang kukuh.
Wan Zulkiflee berkata walaupun prospek yang suram, syarikat itu bagaimanapun berjaya mencatatkan beberapa pencapaian operasi dan projek pada Q2, seperti mencapai hidrokarbon pertama dari tiga telaga (dua di Malaysia dan sebuah di Indonesia), kemudahan LNG terapung Petronas - 2 (Korea Selatan), dan juga permulaan pembinaan Kompleks Bersepadu Pengerang bagi penapisannya dan Projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia di Johor.
Wan Zulkiflee turut menggesa syarikat-syarikat industri minyak dan gas di Malaysia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama yang lebih besar dalam keadaan persekitaran harga minyak yang rendah.
Baca berita penuh di KiniBiz

