Utusan Melayu (M) Bhd berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan syarikat itu membayar sejumlah RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana didakwa menerbitkan artikel fitnah.

Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid semasa menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa perkataan 'menghapuskan DEB' jika dibaca dalam konteks keseluruhan artikel, tidak bersifat fitnah.

Beliau berkata perkataan itu tidak mengaitkan Lim dengan sebarang perlakuan mengaibkan atau meragukan.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh mempengerusikan panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Mahkamah turut mengarahkan Lim membayar RM50,000 kos perundangan untuk prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta kepada Utusan Melayu.

Utusan Melayu merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan saman sivil Lim pada 22 Jun 2012 dan mengarahkan syarikat itu membayar RM200,000 sebagai ganti rugi.

Lim menyaman Utusan Melayu berhubung artikel bertajuk 'DEB-Guan Eng Tetap Berdegil' yang diterbitkan oleh akhbar harian berbahasa Melayu itu pada 15 Mac 2008.

Panel hakim rayuan telah mendengar rayuan itu pada 4 Mac lalu tetapi menangguhkan keputusan mereka.

"Kami berpuas hati keadilan telah diberi kepada kes ini," kata peguam Utusan Melayu, Mohana Kumar.

Sementara itu, peguam Lim, Sangeet Kaur Deo berkata beliau memberi pertimbangan serius untuk membawa kes ke Mahkamah Persekutuan tetapi akan mendapatkan arahan daripada Lim terlebih dahulu.

- Bernama