Selepas Samy Vellu, Hishammuddin pula jadi tumpuan

   

Selepas negara dipanaskan dengan isu-isu yang melibatkan Kementerian Kerjaraya berikutan pembinaan lebuhraya yang bermasalah, kini Kementerian Pelajaran pula menjadi tumpuan berikutan adanya sekolah yang siap dibina tetapi tidak boleh digunakan.

Berikutan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Ambrin Buang telah diarahkan supaya mengemukakan segera laporan dan senarai sekolah yang siap dibina, tetapi tidak boleh beroperasi untuk tindakan segera.

Ketika membuat arahan tersebut hari ini, Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau berharap mendapat laporan berkenaan Khamis ini.

Bernama memetik Hishammuddin sebagai berkata, apa yang penting ialah semua sekolah-sekolah berkenaan disenaraikan, sama ada di Langkawi, Johor Bahru atau Port Dickson.

Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan semua Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah supaya memberi maklumat lengkap mengenai sekolah-sekolah yang bermasalah di kawasan mereka kepada Ambrin bagi membolehkan kementerian menyelesaikannya.

"Melalui senarai itu kita kenal pasti masalah yang dihadapi mereka. Kadangkala masalah ini merupakan masalah di luar bidang kuasa kementerian dan kita perlu meminta kerjasama agensi-agensi kerajaan lain (untuk menyelesaikannya) seperti Sijil Layak Menduduk (CF), bekalan elektrik, air dan jalan," katanya.

Masalah sebenar

Sebelum ini, pihak media perdana telah melaporkan mengenai beberapa sekolah baru yang tidak dapat beroperasi, antaranya kerana tidak mendapat CF.

"Daripada kita mendengar sumber-sumber lain, saya harap pegawai kita sendiri tampil ke hadapan memberitahu kita apa sebenarnya masalah yang dihadapi," katanya.

Ditanya mengenai jumlah projek sekolah yang tidak boleh digunakan, Hishammuddin berkata setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.

Katanya, kementerian berharap dapat menyelesaikan isu berkenaan sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Kementerian Pelajaran mempunyai masa kira-kira setahun untuk menyelesaikan segala masalah dan mengatasi kelemahan dalam projek pembinaan sekolah sebelum membuat keputusan bagi projek RMK9 pada Februari depan, katanya.

Bagi perancangan projek RMK9, Hishammuddin berkata beliau sendiri akan meneliti segala punca masalah dan kelemahan serta menyemak projek Rancangan Malaysia Kelapan yang terpaksa ditangguh kerana masalah kewangan, bagi memastikan masalah serupa tidak berulang.

Kemuka permohonan

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata, CF bagi dua sekolah di Langkawi yang sudah hampir empat tahun disiapkan, dapat dikeluarkan dalam masa seminggu jika perunding projek itu mengemukakan permohonan kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).

"MPLBP telah memperolehi pelan bangunan, kita minta pihak perunding yang berpejabat di Kuala Lumpur itu segera kemukakan Borang E untuk diproses," kata Syed Razak.

Ketiadaan CF membabitkan Sekolah Menengah Sungai Menghulu dan Sekolah Kebangsaan Kelibang menyebabkan kedua-dua sekolah itu masih tidak beroperasi walaupun projek berkenaan telah disiapkan pada 2002.

Syed Razak memberi jaminan bahawa CF berkenaan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat iaitu sekurang-kurangnya seminggu sekiranya pihak perunding memenuhi syarat yang ditetapkan.

Sebelum in Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu mengadapi kritikan daripada pelbagai pihak kerana projek pembinaan serta lebuhraya dibawah tanggungjawab kementeriannya menghadapi banyak masalah.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In