Awang Selamat: Mkini lebih bahaya dari S'wak Report
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini mendakwa bahawa portal berita Malaysiakini lebih berbahaya berbanding Sarawak Report dalam konteks ancaman kepada negara, berikutan pergolakan politik dan isu semasa yang melanda negara kini.
Awang Selamat mendakwa Malaysiakini antara pihak yang paling untung kerana dapat 'menangguk di air keruh' termasuk menyiarkan laporan yang didakwanya mengelirukan, diputar belit, salah dan melaga-lagakan pemimpin dan jabatan kerajaan, lapor akhbar itu.
"Jika dibuat kajian, Malaysiakini lebih berbahaya berbanding portal Sarawak Report dalam konteks ancaman kepada negara," tulis Awang Selamat dalam ruangan 'Analisis Mingguan' hari ini.
"Lebih licik dalam agendanya dengan berselindung atas nama kebebasan media tetapi itulah sebenarnya senjata bagi menjayakan agenda parti (DAP) yang portal itu sokong habis-habisan," katanya lagi.
Dalam laporan itu juga, Awang turut mempersoal Malaysiakini yang didakwanya "semakin angkuh dan memperhebatkan serangan" ke atas institusi penting negara yang menurutnya disebabkan membawa agenda DAP dan ada kaitan dengan isu dana asing.
"Sudah sampai masanya pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Malaysiakini meliputi sumber dana dan aspek ancaman kepada negara.
"Siapa lagi dalang atau tangan ghaib yang merencanakan percaturan buat negara ini menggunakan portal itu," kata Awang dalam tulisnya itu.
Dalam laporan itu juga, Awang turut mendakwa, tidak mengejutkan jika melibatkan komplot besar yang dahsyat kepada negara memandangkan banyak misteri berkaitan Malaysiakini yang belum dapat dileraikan.
"Sebenarnya ada banyak misteri berkaitan portal berkenaan yang belum dapat dileraikan.
"Tidak mengejutkan juga jika melibatkan komplot besar yang dahsyat padahnya kepada Malaysia. Pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk," kata Awang lagi.

