Tiada anggota Parlimen (MP) dari Sarawak akan diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Peraturan umum ialah jika anda seorang anggota Parlimen, maka anda ialah anggota parlimen sahaja. Tidak ramai anggota parlimen kita, juga sebagai ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) pada masa yang sama, jadi saya fikir kali ini tiada seorang pun anggota parlimen akan bertanding pada pilihan raya negeri," katanya.

Ketika ditanya mengenai calon-calon, Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata dalam setiap pilihan raya, sentiasa ada beberapa muka baru.

"Beberapa (ADUN) menyatakan kepada saya mereka mahu mengundur diri, sesetengah membayangkan boleh berkhidmat untuk satu lagi penggal, mungkin penggal terakhir untuk mereka, sesetengah terpaksa berundur," katanya di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di ibu pejabat parti di Kuching semalam.

Beliau berkata mesyuarat tiga jam itu membincangkan mengenai persiapan bagi pilihan raya negeri akan datang, terutama mengenai strategi untuk diguna pakai, serta tarikh yang sesuai bagi pilihan raya itu.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri sekarang berakhir ialah pada 30 Jun tahun depan.

Adenan berkata mesyuarat hari ini, juga dengan sebulat suara meluluskan semua keputusan dibuat serta dasar yang diterima pakai, dan beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan itu.

- Bernama