Deklarasi taat setia wakil rakyat BN dituntut
Bagi menamatkan spekulasi dalam isu dakwaan komplot dalaman menggulingkan kerajaan, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri menyarankan sebuah deklarasi terbuka taat setia dibuat.
“Saya juga ingin menyarankan dalam masa yang terdekat ini, semua ahli-ahli Parlimen BN boleh membuat deklarasi terbuka menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti untuk meletakkan tanda noktah terhadap semua spekulasi dan masalah berbangkit ini,” kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi kelmarin mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.
Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.
Polis akan menyiasat laporan tersebut bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan setelah menerima tiga laporan.
Azalina yang juga anggota parlimen Pengerang itu turut meminta supaya Jawatankuasa Disiplin BN segera menyiasat dakwaan gerakan itu secara terperinci.
Sekiranya dakwaan tersebut benar, katanya, tindakan tegas mesti diambil bagi mengelak berlakunya kompromi tindakan sabotaj yang bertentangan dengan prinsip demokrasi negara, kata Azalina.
Malah, beliau turut mencadangkan supaya Undang-undang Anti Lompat Parti turut digubal.
"Ini bukan hanya soal kesetiaan kepada parti dan integriti dalam politik tetapi adalah soal pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang kita tidak boleh bertolak ansur sama sekali.
"Ini termasuk melakukan pindaan tertentu kepada kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan supaya tiada percanggahan dengan undang-undang baharu ini nanti," katanya.

