3 kereta terbakar dibaling bom api
Tiga buah kereta milik keluarga pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Tumpat rosak selepas terbakar akibat dibaling bom api di Kampung Repek, Bukit Marak di Kota Bahru hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kereta jenis Suzuki Vitara milik Rusli Hassan terbakar 90 peratus, manakala Perodua Kelisa musnah 50 peratus dan Toyota Vios (10 peratus).
Isteri Rusli, Siti Eshah Yusof, 58, berkata beliau menyedari ketiga-tiga kenderaan yang diletakkan di halaman rumahnya terbakar selepas terdengar penggera kereta Toyota Vios berbunyi.
"Sebaik membuka pintu rumah, saya terlihat ketiga-tiga kereta sedang marak terbakar dan salah satu tayar kereta berkenaan meletup.
"Saya terus meminta pertolongan jiran-jiran untuk memadamkan kebakaran sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat Bachok tiba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Siti Eshah berkata, ketika kejadian beliau dan suami termasuk ibunya yang uzur, ibu saudara dan empat orang anak sedang tidur nyenyak dan terus menyelamatkan diri apabila menyedari kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Penolong Penguasa Bomba Kasyfisyahmi Ghazali ketika dihubungi berkata sebanyak tujuh anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.02 pagi.
"Ketika anggota sampai ke tempat kejadian, api masih lagi marak membakar ketiga-tiga kereta berkenaan," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supt Setapa Yusoff berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian berkenaan yang dipercayai akibat perbuatan khianat.
"Kita masih menyiasat bahan apa yang digunakan untuk membakar ketiga-tiga kenderaan berkenaan," katanya.
- Bernama

