Seorang ibu cedera parah ditetak dengan parang oleh bekas suaminya dipercayai akibat meminta hak penjagaan anak mereka dalam kejadian di Merlimau, Jasin dekat Melaka awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata mangsa, Siti Maheran Berahat, 41, cedera parah di kepala, tangan dan kaki akibat tetakan lelaki berusia 52 tahun itu dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dan lelaki itu, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, telah bercerai lima tahun lepas dan mempunyai tiga orang anak lelaki masing-masing berusia empat, tujuh dan 13 tahun.

"Mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur disebabkan kecederaan parah yang dialaminya," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Katanya polis berjaya menahan lelaki tersebut di Felda Bukit Puchong, Bera, Pahang kira-kira 4 pagi tadi dan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. 

Muhd Nur Hishamuddin berkata pada hari kejadian mangsa datang ke rumah suspek untuk berjumpa tiga anaknya dan suspek yang baru pulang ke rumah berang kerana melihat mangsa berbual dengan anaknya berusia 13 tahun sebelum masuk ke rumah dan mengambil parang pemotong daging.

Beliau berkata suspek kemudian memaksa mangsa menaiki motosikal yang ditungganginya sebelum menuju ke sebuah ladang kelapa sawit kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Ketiga-tiga anak itu mengikuti mereka ke ladang tersebut.

"Suspek kemudian menyuruh mangsa turun dari motosikal tersebut sebelum menghayun parang berkenaan ke arah mangsa dan menetak tubuh badan mangsa," katanya.

Katanya mangsa sempat mengarahkan tiga anak mereka melarikan diri dan anaknya berusia 13 tahun kemudian mendapatkan bantuan dari Balai Polis Merlimau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

- Bernama