Harapan Kit Siang melihat Pakatan Baru pada 16 Sept
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah melahirkan harapannya agar pakatan baru pembangkang akan dapat ditubuhkan pada Hari Malaysia pada 16 September.
Lim berkata demikian selepas Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB), Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau menjangkakan sebuah parti Islam yang baru akan ditubuhkan pada Hari Kemerdekaan (31 Ogos).
"Jika parti baru itu dibentuk pada Hari Merdeka, mudah-mudahan sebuah Pakatan Baru, sama ada yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0, Harapan Rakyat atau apa-apa nama lain, boleh dibentuk pada Hari Malaysia," katanya
Lim menegaskan demikian dalam ucapannya dalam satu forum yang dianjurkan oleh DAP di Johor Bahru malam tadi.
Beliau mengakui bahawa selepas tujuh tahun, Pakatan Rakyat telah terkubur selepas berdepan dengan satu pilihan raya umum pada tahun 2013, "dan menghancurkan hati semua rakyat Malaysia yang meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Pakatan tersebut".
Walaupun sedih dengan apa yang terjadi terhadap Pakatan, Lim berkata ia tidak dapat dielakkan apabila salah sebuah daripada tiga parti komponennya enggan mematuhi rangka kerja dasar bersama Pakatan.
Beliau berkata sudah ada tanda-tanda masalah dalam Pakatan ketika pilihan raya 2013 umum, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merestui calon PAS yang membawa kepada pertandingan tiga penjuru di enam kerusi Dewan Undangan Negeri yang telah menguntung calon-calon Umno di situ.
Mengimbas kembali, Lim sebaliknya berkata, ia mungkin satu rahmat bahawa Pakatan gagal memenangi majoriti kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13, kerana jika majoritinya tipis, maka nasib Pakatan akan terletak di tangan presiden PAS, yang menurutnya, tidak pernah menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat untuk menjadi perdana menteri Malaysia.
Jika Hadi tetap tidak menerima Anwar sebagai perdana menteri, kata Lim lagi, maka beliau juga boleh mengalih sokongan partinya di Parlimen kepada calon pilihan Umno, dan mewujudkan krisis utama yang pertama bagi Pakatan Rakyat.
"Kita mesti belajar daripada kesilapan-kesilapan ini dalam Pakatan dan memastikan bahawa Pakatan Rakyat baru yang akan ditubuhkan dengan pembentukan parti Islam yang baru pada Hari Merdeka, akan lebih bersatu padu dalam melaksanakan perubahan politik di Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan lain, Lim menggesa lapan menteri dan dua timbalan menteri untuk mengisytiharkan sama ada mereka telah menerima sebahagian daripada dana RM2.6 bilion yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak terima dalam akaun bank peribadinya untuk kempen mereka semasa PRU13.
"Sebelum mesyuarat kabinet esok, mereka perlu mengisytiharkan sama ada mereka telah menerima pembiayaan daripada RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib untuk kempen pilihan raya umum ke-13, dan jika ya, berapa banyak mereka masing-masing terima," katanya.
Lim menamakan menteri dan timbalan menteri seperti berikut:
1. Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Menteri Pertahanan.
2. Datuk Azalina Othman - Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
3. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah - Menteri Kewangan Kedua.
4. Datuk Seri Liow Tiong Lai - Menteri Pengangkutan.
5. Datuk Seri Anifah Aman - Menteri Luar.
6. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
7. Datuk Ahmad Shabery Cheek - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
8. Datuk Mahdzir Khalid - Menteri Pendidikan.
9. Datuk Tajuddin Abdul Rahman - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
10. Datuk Razali Ibrahim - Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
Mengenai Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Shahrir Samad yang mengesahkan dakwaan laman pemberi maklumat Sarawak Report bahawa beliau telah menerima RM1 juta dari perdana menteri, Lim berkata, pengesahan Shahrir itu yang merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti laporan laman web tersebut.

