Tindakan Speaker DUN Melaka tolak usul DAP dipertikaikan
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Betty Chew Gek Cheng mempertikaikan keputusan Speaker menolak usulnya berhubung dakwaan politik wang di kalangan parti politik dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri, tanpa memberi sebarang sebab.
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Betty Chew Gek Cheng mempertikaikan keputusan Speaker menolak usulnya berhubung dakwaan politik wang di kalangan parti politik dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri, tanpa memberi sebarang sebab.
Dalam kenyataannya, Betty berkata, Speaker Datuk Mo'min Abd Aziz, telah menolak usulnya itu melalui sepucuk surat bertarikh 14 Oktober lalu.
Datuk Mo'min juga menolak soalan Betty kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berhubung kedudukan Ahli Exco Melaka, Datuk Amid Nordin yang digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun, kerana terbabit dalam politik wang.
"Alasan menolak soalan saya tidak boleh diterima kerana Datuk Amid memang digantung keahliannya (dalam Umno) dan ia bukanlah berdasarkan sebab tanpa berasas," kata Betty yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana.
Sebaliknya, kata pengerusi Wanita DAP Melaka itu, penggantungan Amid itu membuktikan kebenaran dakwaan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik tentang penyelewengan kewangan dan politik wang di Melaka.
Katanya, ini termasuk dakwaan mengenai pembelian wakil-wakil Umno dalam pemilihan Bahagian Kota Melaka sehingga setiap undi para wakil boleh dibeli dengan harga RM1,000 setiap undi.
Membetulkan kepincangan
Satu lagi dakwaan ialah berhubung penggunaan parti untuk memperolehi geran tanah, projek kerajaan dan kontrak istimewa antaranya 200 ekar tanah termasuk di pinggir pantai, 30 permit teksi dan satu konsesi penyelenggaraan jalan sebanyak RM2 juta.
Oleh itu, kata Betty ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil ke atas dakwaan bekas Ketua Menteri untuk membetulkan kepincangan yang didedahkan oleh Rahim.
"Jelas di sini Datuk Mohd Ali amat takut saya membawa isu-isu sensitif mengenai politik wang dan kedudukan Datuk Amid kerana tidak tahu menjawabnya.
"Untuk menolak soalan dan usul saya bukan sahaja menunjukkan kelemahan dan ketakutannya menghadapi isu ini, malah ia juga menunjukkan kurang komitmen untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan amanah," kata Betty.
Oleh itu, katanya, rakyat Melaka harus tahu usaha-usahanya untuk menentang politik wang memandangkan laporan akhbar juga menyatakan wujudnya politik wang yang mempengaruhi kemenangan Mohd Ali bagi jawatan Naib Presiden Umno bulan lalu.
Pemberian anugerah
"Pemberian 84 gelaran Datuk, yang dianggap paling ramai dalam sejarah Melaka dan mungkin juga di Malaysia, hanya menunjukkan betapa seriusnya masalah politik wang.
"
Penafian Datuk Mohd Ali bahawa pemberian gelaran Datuk bukanlah satu hadiah politik kepada mereka yang bantu beliau menang Naib Presiden Umno, susah dipercayai bila ramai yang mendapat gelaran Datuk tiada sebarang sumbangan besar kepada rakyat dan negeri Melaka," katanya.
Pada masa yang sama, katanya, isu berkepentingan awam sama ada Datuk Amid boleh terus menjadi ahli Exco, bukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi politik tetapi juga dari aspek ketelusan, akauntabiliti dan integriti pemimpin terbabit.
Yang lebih pelik, kata Betty, seorang yang dianggap tidak layak menjadi ahli Umno kerana terlibat dalam politik wang, dianggap layak menjadi ahli Exco Melaka.
Katanya, ini menunjukkan Datuk Mohd Ali tidak serius dalam menentang masalah politik wang, sedangkan seseorang pemimpin itu perlu dilihat sebagai bersih, cekap dan amanah.

