Ayahanda tuntut TPM namakan 'tokoh Umno'
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini digesa mendedahkan nama 'tokoh besar Umno' yang didakwa mahu menggulingkan kerajaan kepada umum.
Ini kerana, menurut pengerusi Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) Syed Husain Al Shahab, rakyat tertanya-tanya perkara itu.
"Kita minta timbalan perdana menteri keluar senarai nama tersebut.
“Mesti keluarkan, supaya rakyat tidak tertanya-tanya," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Sabtu lalu, Zahid mendakwa seorang MP Umno terlibat dalam komplot "menggulingkan" kerajaan persekutuan, dengan berusaha mendapatkan akuan berkanun dari MP BN dan pembangkang bagi membuktikan mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.
Zahid bagaimanapun enggan menamakan orang itu sehingga mencetuskan spekulasi mengenai identiti orang itu.
Bagaimanapun pada Ahad, menteri dalam negeri itu mendakwa orang itu telah menyesal dan dijadual bertemu Najib pada malam itu tetapi kemudian membatalkannya.
Mengulas lanjut, Syed Husain turut menggesa tokoh tersebut serta semua pihak yang menyimpan niat untuk menggulingkan kerajaan "banyak beristighfar, muhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah".
"Lupakan sahaja niatnya itu. Kata pepatah, jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya.
YAS juga menyeru semua pihak berhenti memporak perandakan negara sekali gus mematuhi undang-undang serta tidak membelakangkan institusi Raja Berpelembagaan.

