PKR mengajak usaha menggubal undang-undang bagi mengawal pembiayaan politik dipulaukan selagi perdana menteri dan kabinetnya tidak mengisytiharkan harta.

“Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak dan anggota jemaah menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus.

“(Ini) dengan harapan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu,” kata naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.

Beliau juga menegaskan bahawa isu itu hanya timbul kerana Najib terdesak ketika berdepan kemarahan rakyat dalam isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Justeru, kata Rafizi, isu penggubalan undang-undang itu adalah cubaan mengalihkan perhatian.

Najib pada 16 Ogos lalu menggesa supaya isu dana politik ditutup , dan memberi fokus bagi menghadapi cabaran yang besar membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Presiden Umno itu menyalahkan media massa terutamanya media sosial menjadi “punca kekalutan pemikiran rakyat” sehinggakan perkara tidak benar boleh dianggap sebaliknya.