Shahrir: Adakah Dr Mahathir masih relevan?
Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) hari ini mempersoalkan sama ada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed masih relevan untuk memberi pandanganya.
"Adakah beliau (masih) relevan?" soal Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad kepada pemberita dalam sidang media di bangunan Parlimen petang ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Johor Bharu mengulas tindakan Dr Mahathir yang dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan sedia ada.
Menurut Shahir lagi, beliau percaya kritikan atau sokongan Dr Mahathir terhadap BN tidak membawa sebarang perbezaan terhadap prestasi parti itu baik semasa mahu pun selepas pilihan raya.
Katanya, prestasi BN pada pilihan raya umum 2008 merosot kerana negarawan itu dilihat begitu rancak mengkritik perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.
Kata Shahrir, jumlah undi BN pada 2013 juga merosot walaupun Dr Mahathir berkempen untuk BN.
"Saya berikan fakta-fakta ini. Kita harus meletakkan perkara ini menurut perspektifnya," katanya lagi.
Mengulas penerimaan rakyat berhubung kontroversi 1MDB, Shahrir berkata beliau yakin orang ramai menerima baik usaha kerajaan memberi penjelasan mengenainya.
Gembar gembur media sosial
Shahrir turut berkata kerajaan menerangkan dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib itu sekadar digembar-gemburkan media sosial.
"Nampaknya baik, tak sehebat yang digembar-gemburkan media sosial. Media sosial syok sendiri.
"Itu yang kita nak kena tegas dari segi media sosial – berita yang tak betul, kena ada penjelasan," kata Shahrir.
Sementara itu, beliau mendakwa pihaknya tidak tahu menahu berhubung dakwaan bahawa wang itu diberikan sebagai usaha Malaysia memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS) seperti yang dilaporkan oleh media.
Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat dilaporkan mendakwa 146 ketua Umno bahagian dimaklumkan Najib dalam satu pertemuan bahawa sumbangan oleh kerajaan Arab itu untuk memerangi IS.
"Saya pun tak tahu siapa komen. Saya tak berapa faham (jadi) tak boleh buat kenyataan.
"Siapa punya kenyataan?" tanya Shahrir kepada pemberita.
Apabila dimaklumkan wartawan kenyataan itu dibuat Wan Adnan, MP Johor Bahru itu menjawab:
"Jauh Kuantan dengan Johor Bahru (kawasan Parlimen saya)".

