Thai beri respons positif dapat bukti dari Justo
Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima respons positif daripada Pejabat Peguam Negara Thailand bagi mendapatkan bukti lanjut mengenai Xavier Andre Justo, warganegara Switzerland yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kelmarin.
Dalam kenyataannya, AGC berkata ia dalam proses mendapatkan bukti lanjut di bawah Perjanjian Mengenai Bantuan Guaman Bersama dalam Hal Jenayah dalam kalangan negara ASEAN.
Justo dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan selepas dia mengaku cuba mengugut bekas majikannya, PetroSaudi International.
Bekas Eksekutif Teknologi Maklumat berusia 49 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223).
Dalam kenyataan itu, AGC berkata jabatan itu memberi jaminan kepada orang awam bahawa semua kertas siasatan dihantar oleh Polis Diraja Malaysia untuk perhatiannya akan dikaji secara teliti dan diberi perhatian serius kerana terdapat pelbagai dakwaan berkaitan kes Justo yang boleh memberi kesan terhadap kestabilan negara.
- Bernama

