Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad menasihati kepimpinan PAS negeri lain agar merujuknya terlebih dahulu sebelum menjemput ahli politik dari parti lain menyertai PAS negeri itu.

"PAS Selangor belum buat keputusan lagi. Seeloknya tanya pandangan PAS Selangor sebelum buat kenyataan.

"Itu pandangan PAS Kedah, bukan pandangan PAS Selangor atau PAS Pusat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Teguran naib presiden PAS itu dibuat susulan Ketua Pemuda PAS Kedah Mohd Azam Abd Samat yang dilapor mempelawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai PAS bagi mengukuhkan lagi parti itu.

Azam yang juga ADUN Sungai Limau dilapor berkata PAS sememangnya memerlukan ahli dan tokoh politik yang amanah dan gigih seperti bekas menteri besar Selangor itu.

Beliau berkata karier politik Abdul Khalid tidak harus berakhir begitu saja selepas beliau meninggalkan dunia korporatnya untuk melibatkan diri dalam kancah politik demi berkhidmat kepada rakyat.

Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan melepaskan jawatannya seperti diarahkan partinya.

Keengganan itu menimbulkan krisis pelantikan menteri besar Selangor dan turut menyebabkan dua ADUN PAS digantung.

Krisis tersebut berakhir selepas Sultan Selangor melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri besar baru.