Bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa kerajaan memberi penghargaan kepada bekas anggota Majlis Perundingan Negara, mendiang James Puthucheary, atas sumbangan dalam reformasi ekonomi pasca-13 Mei 1969.

Zainuddin berkata, mendiang James juga layak diberi anugerah yang membawa gelaran 'Tan Sri' sebagai tanda menghargai keterbukaan kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein pada masa itu.

“(DEB) tidak akan berlaku sekiranya perdana menteri kedua Tun Abdul Razak tidak bersikap terbuka kepada sebarang idea ke arah perubahan dinamik dan membataskan pemikirannya dalam menghadapi cabaran dari kaumnya sendiri...," kata Zainuddin.

Jelasnya, Abdul Razak pada waktu itu mencari formula untuk membuat perubahan segera ke atas golongan bumiputera selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Dalam tulisan di blog zamkata.blogspot.com itu, Zainuddin berkata, Abdul Razak terpikat dengan formula yang dikemukakan oleh pengasas parti PAP itu melalui buku 'Ownership and Control in the Malayan Economy'.

“Seperti seniman agung P Ramlee dan juga pejuang tulen lainnya, James Puthucheary tidak meminta jasanya diingati.

“Tetapi jika anugerah posthumous Tan Sri boleh diberikan kepada P Ramlee maka apakah salahnya anugerah yang sama diberikan kepada James Puthuceary walaupun beliau seorang Marxist atau komunis,” kata Zainuddin.

Sebelum bergiat di Malaysia, James ditahan bawah ISA di Singapura pada 1956 ekoran kegiatan dalam pertubuhan sekerja.

Pada 1963, beliau sekali ditahan bawah ISA bersama lebih 1,000 orang aktivis politik di negara itu dan seterusnya disekat daripada memasuki Singapura.

Beliau dibawa ke dalam lingkungan Abdul Razak oleh setiausaha politik perdana menteri itu waktu itu, Abdullah Ahmad.