Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Thailand bayar pampasan pada mangsa letupan
Diterbitkan:  Aug 19, 2015 6:20 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Thailand akan membayar pampasan sebanyak RM45,902.38 (400,000 Baht) kepada setiap keluarga mangsa yang maut dalam insiden letupan bom di Bangkok pada Isnin lepas, kata Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien.

Sambil menyifatkan serangan itu sebagai "insiden ngeri" Ekajit berkata, kerajaannya bersedia menawarkan bantuan yang diperlukan.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dalam serangan itu pula mendapat bayaran pampasan maksimum RM11,475.59 (100,000 Baht) bagi menampung kos perubatan dan hospital.

"Fi visa akan dimansuhkan untuk anggota keluarga yang mati dan cedera dan dihantar ke hospital di negara itu. Kami bersedia membantu semua yang terlibat," katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di George Town hari ini.

Lim pula turut mengucapkan takziah kepada mangsa, keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Lim berkata, empat yang terbunuh berasal dari Pulau Pinang dan kerajaan negeri turut bersedih dengan nasib yang menimpa mangsa.

"Sepucuk surat akan dikirim kepada Perdana Menteri Thailand (Prayut Chan-o-cha) untuk menyampaikan rasa simpati," katanya.

Lebih 20 orang maut dalam serangan ke atas kuil Erawan yang popular di tengah kota Bangkok manakala 123 orang lagi cedera.

Wisma Putra mengesahkan empat rakyat Malaysia yang mati dalam insiden itu sebagai Lee Tze Siang, 33, Lim Saw Gek, 49, Lee Jing Xuan, 4, dan Neoh Jai Jun, 20.

Empat mangsa yang maut mempunyai hubungan kekeluargaan dan sedang dalam percutian di Bangkok dengan hanya Neoh Ee Ling, 33, dan bapanya Neoh Hock Guan, 55, terselamat dalam letupan itu.

Mayat mereka akan dibawa balik dari Thailand pada pukul 7.25 malam dan dijangka tiba di Pulau Pinang pada pukul 10.20 malam.

   

- Bernama

Lihat Komen
ADS