Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid: Saya tidak diberitahu mengenai rombakan Umno Kelantan
Diterbitkan:  Oct 21, 2004 3:22 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kesan kepada perpaduan Umno Kelantan akan hanya diketahui selepas rombakan pucuk pimpinannya dibuat, sepertimana yang dicadangkan oleh pengerusinya Datuk Mustapa Mohamed.

Ketika menegaskan demikian, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, adalah terlalu awal untuk beliau membuat sebarang ulasan kerana rombakan itu belum berlaku.

Oleh itu, beliau enggan mengulas sama ada rombakan itu akan membawa kesan negatif termasuk perpecahan di kalangan Umno Kelantan.

"Perpecahan yang bagaimanakah akan berlaku kali ini? Sama ada berpecah atau tidak, kita tidak boleh bercakap sekarang, tunggu dan lihat sahaja," katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

Menurut Zaid, beliau tidak tahu menahu mengenai rombakan yang akan berlaku dalam pucuk pimpinan Umno Kelantan kerana tidak diberitahu mengenainya.

"Terpulanglah kepada mereka untuk membuat rombakan atau tidak", katanya lagi.

Baru-baru Mustapha berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai rombakan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beberapa jawatan penting dijangka berlaku perubahan termasuk jawatanTimbalan Pengerusi Perhubungan negeri yang kini disandang oleh Zaid, yang dikatakan bakal digantikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah, Datuk Awang Adek Husin.

Tergugat

Ini adalah berikutan cadangan untuk membawa pemimpin Kelantan yang menang dalam Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur Ogos lalu membarisi kepimpinan Umno negeri demi mengukuhkan parti.

Awang Adek menang jawatan Majlis Tertinggi (MT) manakala Zaid tidak layak bertanding Naib Presiden kerana tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Zaid dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Umno Kelantan dalam rombakan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Januari 2003 bagi menggantikan Datuk Annuar Musa. Annuar juga menang kerusi MT baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Safin berkata, adalah hak Presiden Umno untuk membuat rombakan dalam kepimpinan Umno Kelantan kerana beliau yang lebih mengetahui kelebihan seseorang itu.

"Sebagai orang bawah, kita semua perlu menerima keputusan itu secara terbuka kerana sebarang rombakan adalah bertujuan untuk mengukuhkan parti. Lagipun kita semua sudah ada tugas di bahagian masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata, yang menjadi masalah ialah sesetengah pemimpin, apabila digugur, mengambil tindakan `menyerang' parti kerana tidak tidak puas hati.terhadap individu ataupun Umno itu sendiri.

"Ada juga apabila digugurkan daripada jawatan, mereka menjadi marah, lalu bertindak menjadi pengacau kepada parti semata-mata kerana kepentingan peribadi mereka tergugat," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS