Mahkamah Rayuan tolak saman terhadap SYABAS
Mahkamah Rayuan menolak tuntutan kerugian dan tuntutan fitnah dua pengguna terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan seorang kakitangannya.
Kenyataan SYABAS hari ini menyebut, keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang bersidang pada 6 Julai.
Mereka ialah Datuk Rohana Yusuf, Datuk Dr Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk P Nallini.
Hakim juga bersetuju kes berkenaan ditolak dengan kos RM5,000.
Kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur September tahun lalu dan hakim ketika itu menolak tuntutan plaintif dengan kos RM10,000 dan pada masa sama, membenarkan tuntutan balas SYABAS dan kakitangannya sebanyak RM1,194.00.
Plaintif kemudian merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, kes berkenaan ditolak kerana para hakim sebulat suara berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat dan tidak memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan
Pada September 2012, Sapiah Puteh dan suaminya, Hashim Maon memfailkan tuntutan terhadap SYABAS serta Mat Saman Mat Soom (kakitangan SYABAS) berhubung masalah kualiti air dan tekanan air rendah di premis mereka di Kampung Kerdas 2, Batu 5 ½, Gombak, Kuala Lumpur.
Tuntut ganti rugi RM2.5 juta
Plaintif juga memfailkan tuntutan fitnah terhadap SYABAS dan Mat Saman dengan meminta ganti rugi berjumlah RM2.5 juta bersama kos dan faedah.
SYABAS dan Mat Saman kemudian memfailkan tuntutan balas terhadap pasangan suami isteri itu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan membuat penyambungan semula bekalan air secara haram.
Hakim Datuk Rosnaini Saub membenarkan tuntutan balas SYABAS terhadap pasangan terbabit atas kerugian dan kerosakan kerana melakukan penyambungan haram bagi tempoh 42 hari mulai 10 Jun 2011.
Mahkamah memerintahkan Hashim dan Sapiah membayar RM1,000 kepada SYABAS bagi kos operasi dan RM194 untuk penggunaan air bagi tempoh 42 hari.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan berpendapat Rasnaini mebuat keputusan tepat dan tidak memerlukan campurtangan Mahkamah Rayuan.

