Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan mahasiswa hari ini mengumumkan akan mengadakan perhimpunan #LangkahSiswa di depan parlimen pada 24 Ogos ini bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kumpulan itu, yang menamakan diri mereka Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara, juga menuntut penjelasan dalam isu 1MDB serta mahu sidang khas bersama anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Kami akan terus (berdemonstrasi), tetap dengan keputusan serta tuntutan kami sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi respons," kata pengerusi kumpulan itu Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Bank Negara di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Muhammad Luqman berkata apa yang berlaku hari ini "mencacatkan sistem demokrasi negara" gara-gara tindakan seorang pemimpin yang cuba mempertahankan hayat politiknya.

Katanya, keadaan itu akhirnya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara sehingga berlakunya krisis ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

"Perhimpunan itu nanti adalah tanda hilangnya kepercayaan mahasiswa terhadap Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia," ujarnya lagi.

Aktivis mahasiswa sebelum ini pernah mengancam mengadakan demonstrasi besar-besaran jika Najib tidak memberikan penjelasan meyakinkan terhadap laporan The Wall Street Journal (WSJ) ke atasnya.

Sementara itu, aktivis mahasiswa Muhammad Faizuddin Ghazali mendesak pihak Universiti Antarabangsa Malaysia (UIA) menarik semula hukuman gantung pengajian dua pemimpin pelajar yang mengadakan perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap universiti, Mei lalu.

Katanya, mahasiswa tidak teragak-agak mengadakan demontrasi besar-besaran pada September depan sekali gus menuntut rektor UIA meletak jawatan sekiranya pihak universiti enggan membatalkan hukuman berkenaan.

Lihat Komen
ADS