LAN selesai nilai silabus peperiksaan UEC
Lembaga Akreditasi Negara (LAN) telah menghantar laporannya mengenai penilaiannya terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
Pengurus Kanan akreditasi awam LAN, Zokrie Othman mengesahkan perkara itu ketika dihubungi malaysiakini semalam.
Minggu lalu,
malaysiakini
melaporkan lembaga tersebut, melalui suratnya bertarikh 2 September lalu, telah meminta badan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, menghantar silabus UEC untuk penilaian LAN.
Surat tersebut yang ditandatangani oleh Zokrie, tidak memasukkan UEC dalam senarai syarat-syarat keperluan akademik untuk melanjutkan pelajaran ke kolej dan universiti.
Bagaimanapun, surat itu menambah, walaupun UEC tidak disenaraikan, kolej swasta dan universiti masih menerima pelajar lulusan peperiksaan tersebut dan ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kementerian.
Walaupun tidak diiktiraf di Malaysia, pelajar-pelajar lulusan UEC diterima melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di United Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan, Hong Kong, China dan Singapura.
Sementara itu seorang pegawai LAN yang enggan disebut namanya, berkata penilaian tersebut dijalan bagi menentukan sama ada silabus berkenaan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh lembaga itu.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengiktiraf UEC, beliau berkata adalah 'mustahil' untuk institusi pengajian tinggai awam menerima kemasukan pelajar lulusan sijil tersebut.
Tiada susulan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dong Jiao Zong, Bock Tai Hee berkata, pihaknya tidak akan meminta sebarang jawapan susulan daripada LAN mengenai penilaian tersebut.
"Bagaimanapun nak buat susulan? Mereka tidak beritahu kami mengapa mereka perlukan silabus itu. Kami juga tidak pasti sama ada mereka mahu membuat penilaian terhadapnya," kata beliau ketika dihubungi.
Peperiksaan UEC diambil oleh pelajar daripada 60 sekolah menengah swasta Cina di Malaysia.
UEC mengendalikan tiga peringkat peperiksaan: Peperiksaan Bersepadu Vokasional (UEC-V), UEC (Peringkat Pertengahan Junior-JML) and UEC (Peringkat Pertengahan Senior-SML).
Kesemua peperiksaan bagi matapelajaran UEC-V dan JML adalah dalam bahasa Cina, tetapi bagi SML, mata pelajaran matematik dan sains(biologi, kimia dan fizik), perakaunan dan Perniagaan diadakan dalam bahasa Cina dan Inggeris.
Para pejuang pendidikan Cina sering menuduh kerajaan menganaktirikan pendidikan Cina, dengan mendakwa itulah sebabkan mengapa UEC tidak diiktiraf.

