AMK: Sahut cabaran PM dengan turun BERSIH 4
PKR hari ini menyeru rakyat Malaysia menyahut cabaran Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik balik mandat yang diberikan kepada beliau dengan beramai-ramai menyertai himpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos ini.
Memetik kenyataan Najib di Facebook, Naib Ketua AMK Fahmi Fadzil berkata, perdana menteri melontarkan cabaran kepada rakyat Malaysia untuk membatalkan mandat diperolehnya sebelum ini.
"Saya harap rakyat Malaysia turun beramai-ramai pada himpunan BERSIH 4 hujung bulan ini. Bukan saja di Kuala Lumpur tetapi juga di Kota Kinabalu dan Kuching supaya kita sama-sama meriahkan proses demokrasi di Malaysia," katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat hari ini.
AMK sendiri, kata Fahmi, akan berusaha membawa lebih 20,000 ahli parti itu pada 29 dan 30 Ogos ini.
Menulis di Facebook rasminya, Najib berkata, sebagai perdana menteri menjadi tanggungjawab beliau untuk membuat keputusan tepat demi rakyat Malaysia.
Bantu kawal peserta
Kata Najib oleh kerana rakyat yang memilihnya - dan berasa bangga serta rendah diri memikul mandat berkenaan - menjadi hak rakyat juga untuk memberi atau menarik balik kepercayaan berkenaan.
“Ia bukan milik seorang individu, tak kira betapa terkemuka pun,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana pihak secara langsung.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR juga berkata, parti berkenaan akan menyediakan kira-kira 2,000 anggota bagi mengawal keselamatan peserta pada hari perhimpunan berlangsung.
Sebelum itu, Sekretariat KitaLawan mengedarkan risalah himpunan BERSIH 4 di pekarangan Masjid Negara bagi mengajak orang ramai hadir ke perhimpunan tersebut.
Hadir sama Pemimpin Pemuda Gerakan Harapan Baru, Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar.
BERSIH 4 itu dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di tiga kota utama negara, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
Kuala Lumpur menjadi lokasi terbesar himpunan itu di mana penganjur BERSIH 4, Maria Chin Abdullah menjangkakan lebih 100,000 akan menyertai mereka.
Maria Chin juga merancang berarak daripada lima tempat tumpuan pelancong di sekitar bandar raya Kuala Lumpur menuju ke Dataran Merdeka dan bermalam di sana.

