Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru sahaja selesai dengan proses pelantikan firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengaudit pembelian kontroversi hartanahnya di luar negara, kata Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.

Pelantikan itu sepatutnya dilakukan bulan lalu, dan beliau telah mengarahkan supaya dipercepatkan proses itu, kata Annuar kepada pemberita malam tadi.

Ia sepatutnya bulan lalu, katanya, tetapi mereka perlu menyediakan terma rujukan, yang menurutnya terikat dengan kos, dan pihaknya perlu mendapatkan kelulusan mengikut prosedur kewangan tertentu.

Bagaimanapun, kata Annuar, beliau telah memberi arahan minggu lalu supaya ianya dipercepatkan.

Menurutnya lagi, ia akan menentukan cara MARA bekerja di masa hadapan.

"Kami tidak mahu sebarang kesilapan dan tidak mahu mengulangi kesilapan," katanya.

Sebelum itu Annuar menghadiri majlis makan malam amal dan tayangan perdana filem 'Jejak Warriors'.

Annuar berkata, proses audit pembelian hartanah MARA akan memerlukan kos yang tinggi, kerana juruaudit perlu ke luar negara untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya ada salah laku ditemui.

Annuar mengumumkan pada 2 Julai lalul bahawa Majlis MARA memutuskan untuk melantik PwC bagi mengaudit pembelian hartanah di luar negara, terutama di London dan Australia.

[Baca berita penuh/asal]